Manfaat Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah. Perkongsian soalan, nota, latihan, skema jawapan, bahan rujukan dan informasi terkini blog Usaha Padu dapat membantu para guru, pelajar dan ibu bapa. Para guru, pelajar dan ibu bapa digalakkan untuk memanfaatkan semua bahan perkongsian blog Usaha Padu dengan sepenuhnya. Admin blog ini akan berusaha untuk mengemaskinikan bahan-bahan perkongsian dari semasa ke semasa.
.
Manfaat Dasar 1Murid 1Sukan Kepada Murid Sekolah
Dasar 1Murid 1Sukan yang telah diperkenalkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada tahun 2011 banyak mendatangkan manfaat kepada murid. Dasar ini memang penting untuk program pembangunan sukan di sekolah-sekolah. Dasar 1Murid 1Sukan menjadi serampang dua mata bagi melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah iaitu melahirkan pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dasar ini dikatakan berupaya untuk meningkatkan kadar penglibatan dan penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan atau permainan di sekolah. Oleh itu, pelbagai manfaat dasar tersebut akan dihuraikan dengan lebih lanjut dalam perbincangan seterusnya.
Antara manfaat dasar 1Murid 1Sukan ini ialah murid-murid dapat mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah. Hal ini demikian kerana murid-murid yang melibatkan diri dalam aktiviti sukan dapat mengelakkan diri daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan terlibat dalam gejala negatif. Sebagai contohnya, murid-murid dapat menyertai aktiviti sukan atau permainan seperti bola sepak, badminton, sepak takraw, bola tampar, bola keranjang, dan sebagainya. Aktiviti yang dilakukan itu memang memberikan manfaat yang banyak kepada mereka. Jadi, dengan mengikuti program ini, murid-murid dapat menggunakan masa dengan berkesan dan dapat mengelakkan diri daripada aktiviti yang kurang sihat.
Dasar ini membolehkan guru-guru mencungkil bakat murid dalam bidang sukan atau permainan. Melalui sukan yang disertai oleh murid, bakat mereka dapat disuburkan dengan bimbingan dan latihan daripada guru kerana kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Murid yang telah dilatih itu boleh mewakili sekolah sebagai pemain bola sepak, hoki, badminton, squash, boling, olahraga, dan sebagainya. Murid-murid dapat membuktikan bakat dan potensi mereka itu dan berlatih dengan gigih untuk mencapai kemenangan. Perkara itu membuktikan bahawa dasar ini dapat mengembangkan bakat murid-murid dalam sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Selain itu, program ini dapat mewujudkan budaya atau amalan yang mementingkan kesihatan dalam kalangan murid sekolah. Perkara ini penting kerana murid yang aktif dalam aktiviti sukan akan menyebabkan badan mereka sihat dan cergas. Apabila badan mereka sihat, otak mereka akan cerdas dan murid-murid akan mudah untuk menerima pelajaran dan seterusnya mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik. Dengan perkataan lain, murid-murid yang sihat dan cerdas ini akan dapat menjawab soalan dalam pelajaran dengan cemerlang. Hal ini membuktikan bahawa melalui program ini, murid akan sihat dan cergas serta mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan.
Seterusnya, dasar ini berupaya untuk menggalakkan penyertaan setiap murid dalam aktiviti sukan atau permainan. Hal ini demikian kerana setiap murid berpeluang untuk melibatkan diri dalam bidang permainan atau sukan yang diminati oleh mereka. Selain itu, perkara ini menunjukkan bahawa tidak ada murid yang diabaikan atau dipinggirkan daripada melibatkan diri dalam permainan atau sukan di sekolah. Secara tidak langsung, pihak sekolah dapat mencungkil bakat murid dalam aktiviti sukan atau permainan dan bakat itu boleh digilap dan dilatih untuk mewakili sekolah. Oleh itu, jelaslah bahawa dasar ini dapat merangsang minat murid-murid untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan yang diminati oleh mereka.
Melalui dasar ini, usaha untuk memupuk semangat kesukanan dan perpaduan kaum dalam kalangan murid akan menjadi realiti. Dengan melibatkan diri dalam aktiviti sukan atau permainan tertentu, murid-murid akan menghayati semangat kesukanan ketika melibatkan diri dalam sesuatu permainan atau sukan. Sebagai contohnya, murid-murid turut berpeluang untuk bergaul dengan murid yang berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina, India, Iban, dan Kadazan dalam sesuatu permainan atau sukan. Perkara ini membolehkan murid-murid berinteraksi dengan lebih erat dengan rakan-rakan sepasukan yang terdiri daripada berbagai-bagai kaum. Tegasnya, dasar tersebut dapat membentuk murid yang menghayati semangat kesukanan dan perpaduan kaum di negara ini.
Jelaslah di sini bahawa dasar 1Murid 1Sukan ini merupakan satu tranformasi baharu yang banyak manfaatnya dalam sistem pendidikan di negara kita. Oleh itu, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat perlu memahami dan menyokong usaha murni ini. Sekiranya usaha ini tidak mendapat kerjasama daripada semua pihak, sudah tentu hasrat murni tersebut tidak akan tercapai. Jadi, semua pihak perlu bekerjasama untuk merealisasikan perkara ini, ibarat bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Dengan usaha yang bersepadu itu, kita berharap agar murid-murid lebih aktif dan bersemangat dalam bidang sukan demi kemajuan dan kecemerlangan sukan negara.
.