Gaji Penjawat Awam Perlu Seiring Dengan Kos Sara Hidup

Share Kepada Kawan-Kawan > > >

Gaji Penjawat Awam Perlu Seiring Dengan Kos Sara Hidup. Perbuatan rasuah dalam kalangan penjawat awam tidak akan berlaku sekiranya kadar gaji golongan berkenaan seiring dengan kenaikan kos sara hidup.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, kajian yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak lima tahun lalu terhadap penjawat awam yang ditahan kerana melakukan perbuatan terkutuk itu seharusnya membuka mata kerajaan untuk melihat isu tersebut secara serius.

“Negara-negara maju lain tidak berlaku situasi seperti ini kerana kadar gaji penjawat awam di sana sudah berada pada tahap yang wajar untuk menanggung kos sara hidup dan komitmen-komitmen lain.

“Berbeza di Malaysia apabila kali terakhir sistem saraan disemak pada 2002 manakala skim perkhidmatan awam pula pada 2016 dan lebih menyedihkan ramai keliru mengenai semakan itu, yang disemak adalah skim bukannya gaji,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, sejumlah 46.3 peratus daripada keseluruhan 4,860 individu yang ditahan kerana kesalahan rasuah sejak 2014 hingga Jun tahun ini membabitkan kakitangan kerajaan.

Kata beliau, lebih membimbangkan apabila kajian SPRM itu mendapati, 22.1 peratus penjawat awam mengakui sanggup menerima rasuah, sekiranya mereka berkuasa dalam kerajaan.

Sumber: https://www.utusan.com.my/berita/nasional/gaji-penjawat-awam-perlu-seiring-dengan-kos-sara-hidup-1.951433

.